Tuesday 29 April 2014

CERPEN: telah furqankah kalian?


Langit yang tadinya berwarna jingga keunguan,sekejap sahaja sudah menghitam dan memekat, tanda malam semakin jauh melarut. Begitulah juga hakikatnya sang manusia. Semakin tubuh ingin dipanggil rehat, semakin itulah ramai yang bertambah tenat. Mereka menjadikan sang malam sebagai asbabnya mereka teraba-raba. Kata mereka, kerana gelapnya malamlah yang menjadikan mereka terhalang daripada mendapat sinarnya sang cahaya.   

Aku hanyalah seorang manusia biasa. Bukan kerana aku turut ada cacat dan cela, tetapi kerana aku juga tidak terlepas untuk selalu memasang sejuta anganan dan cita-cita. Setiap hari ku sering sahaja melihat manusia di sekelilingku. Mereka masih manusia yang sama dengan rutin yang sama tetapi di hari yang berbeza. Sedang aku? Ya. Aku juga masih seorang manusia yang sama dengan rutin yang sama, juga di hari yang berbeza. Pasti kalian yang sedang membaca coretan ringkasku ini berasa hairan dan pelik. Aku ini, apa profesinya? Sehingga boleh ada masa untuk mengintai dan melihat rutinnya sang manusia. Bukan hanya sehari, bahkan sehingga setiap hari!

“Muhammad! Cepat! Jom main bersama kami”

“…”

          Aku ini hanyalah seorang anak kecil yang masih lagi tidak pandai untuk membersihkan setiap aliran hingusku yang jatuh dengan kudrat tanganku sendiri. Bukan kerana aku tidak mahu, tetapi kerana aku tidak mampu. Semua ini gara-gara robot-robot yang kulihat setiap hari itu tadi. Perasaan hatiku yang kian merobek ingin sekali memekik! Biarkan pekak semuanya. Ah! Mereka memang sudah pekak dari awal lagi. Bukan sahaja pekak, bahkan buta dan bisu. Mereka itu cacat di atas sebuah kesempurnaan sang manusia!

          Apakah mereka ini tidak melihat aku yang kecil ini? Sedang aku sering sahaja melihat mereka dari tepi jalanan penuh lumpur dan lecak ini. Bahkan, aku tidak pula beralih dari posisiku dari awal pagi hinggalah terbenamnya sang matahari. Mustahil mereka tidak nampak kelibatku. Apakah mereka ini tidak menghiraukan aku hanya atas sebuah dasar kebangsaan yang tidak sama, yang selalu sahaja dilaung dan diapi-apikan itu?

Tetapi. Manusia-manusia yang melaluiku itu tidak semuanya tidak sebangsa denganku. Tetapi, mengapa jadi begitu?

          Ehem. Kau mahu tahu siapa manusia-manusia itu? Kau jangan terkejut andai aku katakan mereka itulah manusia yang palsu jiwanya. Mereka tampak hadir dengan sosok fizik mereka yang gagah dan kuat. Mereka selalu sahaja ada walau di celah mana-mana. Kerana apa? Kerana mereka itu ramai bilangannya. Mereka itulah yang telah sekian lama berkhidmat sebagai seorang relawan di kem pelarian kami. Mereka itulah yang tetap sahaja setia merawat dan menjaga kami, mangsa kepada bekunya hati sang ummat yang masih lagi lena diulit mimpi.

          Sekali lagi ku katakan. Kalian pasti pelik bukan bagaimana aku mengatakan mereka itu robot-robot yang cacat di atas sebuah kesempurnaan? Sedang mereka itulah yang telah meng-Infaqkan seluruh jiwa dan raga mereka demi menjaga kami semua di kem pelarian ini. Kau mahu tahu kenapa? Mari sini aku ceritakan. Agar kelak tidak pula engkau menjadi salah satu dari mereka yang sedang aku bicarakan.

          Seorang relawan itu tidak seharusnya mereka hanya rela di atas nama. Juga tidak seharusnya mereka itu rela hanya di atas pandangan mata-mata manusia. Yang dikatakan mereka itu rela hanya di atas nama dan juga pandangan mata manusia adalah pada saatnya mereka itu hanya hadir pada jasad tetapi tidak pada jiwanya. Seorang relawan itu mana mungkin dapat menipu kami-kami yang begitu mengerti erti sebuah kemanusiaan.

          Di setiap huluran tangan mereka, di setiap senyuman mereka, di setiap langkahan padu mereka, di setiap keringat peluh mereka, tidak sedikitpun aku merasakan kehangatan itu dijiwaku. Bukan sekali aku melihat golongan-golongan sebegini di kem kami.

          Meski aku ini hanyalah seorang anak kecil yang kurang kudratnya, namun aku juga tahu menentukan bagaimana seharusnya aku fikir dan rasa.

Bagaimana seorang manusia itu sampai boleh mengaku dirinya seorang relawan sedang hatinya tidak rela? Andai sahaja mereka rela, pasti sahaja di hati mereka itu hanya ada ALLAH sahaja. Pasti juga jelas di lubuk hati mereka, apa itu pahala, dan apa itu redha.

          Kalian pasti kata aku tidak bersyukur bukan? Aku bukan tidak mahu bersyukur. Tetapi aku takut untuk bersyukur atas sebuah alhaq yang galak bertopengkan kebatilan. Betapa sebuah jiwa tidak boleh bercampur di dalamnya 2 elemen pada satu masa. Andai sahaja para relawan ini tidak mendatangi kami dengan niat Lillahi Taala, lantas mereka mendatangi kami dengan apa? Kemudiannya, cuba kalian bayangkan, hati mereka yang tidak diposisikan ALLAH di dalamnya, di hulur kepada kami, dengan harapan kami menyambutnya. AH! Mustahil sekali aku akan menyambutnya. Kerana aku bimbang, hati yang tiada ALLAH sebentar tadi  sampai  berjangkit kepada kami.

          Para relawan yang datang silih berganti. Dan aku masih di sini. Andai sahaja para relawan itu menjadikan ruhnya sebagai tebusan, maka di luar sana, pasti mereka tidak duduk diam bersahaja. Atau hanya kerja saat ada projek sahaja. Para relawan itu, andai di dalami makna profesinya sahaja sudah cukup membuatkan sebatang tubuh ini akan terus melangkah dan melangkah. Langkahan mereka tampak sama sepert manusia biasa, namun auranya dapat dirasakan berbeza.

          Sungguh! Tugasmu hai relawan, besar sekali. Tugasmu tidak hanya mengagih ubat-ubatan, merawat luka-luka dan juga menghiburkan hati kami yang lara. Tidak. Tetapi tugasmu juga adalah mengejut ummat yang masih belum bangun hingga kini. Tugasmu juga adalah untuk menghidupkan hati-hati mereka yang hampir mati!

          Duhai para relawan! Datangilah kami dengan hati yang penuh wahyu! Andai sebaliknya, nescaya kalian tidak akan mampu mengambil walau satu ibrah dari apa yang kami lalui. Kalian juga tidak akan mampu untuk memahami satu urgensi yang sepatutnya kalian tempuhi.

Duhai para relawan, andai kalian mengerti, maka kalianlah ikhwan sebenar buat kami. Dengan hatimu yang hidup, kami mempercayakan kalian sepenuhnya untuk menghidupi manusia yang lainnya.

Kau tahu? Seperti yang telah aku nyatakan di awal coretanku ini, aku juga tidak terlepas dari cacat dan cela. Dan aku, seorang anak kecil yang kehilangan kemampuan deria semuanya. Tetapi tidak hati.

 Kerana aku tidak lagi mampu bertutur, maka semua yang aku luahkan di atas tidaklah mampu didengari oleh mereka. Kerana aku tidak lagi mampu untuk melihat, maka, apa sahaja yang dilakukan oleh manusia-manusia itu, ku rasakan seolah-olah semuanya sama. Sebab itu katakana mereka masih dengan rutin yang sama. Akan ku anggap sama sehinggalah ku dapat rasakan impak dan perbezaannya, meski aku tidak lagi punya deria mata, telinga dan mulut, namun ingat, aku masih punya hati. Dan hati itu, sungguh, dialah deria yang paling sensitif. Sepatutnyalah!

“Muhammad”,

“ya”,

“andai engkau ALLAH beri peluang untuk berkata buat sementara cuma, apa yang ingin engkau katakan ya?”

“Aku ingin sekali mereka melihat aku meski hanya dengan pandangan bola mata yang paling hujung sekali.  Aku ingin sekali mereka berhenti lantas mengamati tubuh kecilku ini agar dapat mereka mengerti dan memaknai. Dengan harapan, wujudlah walau hanya sekelumit simpati. Bukan. Bukan sebuah simpati yang aku mahukan. Bukan juga sebuah kasih sayang plastik yang kononnya dicipta atas nama sebuah persamaan. Tetapi, yang aku dambakan hanyalah sebuah kesatuan penuh kedamaian.”

Eh. Aku boleh mendengar? Aku boleh bertutur? Subhanallah! Aku di mana ni? Siapa kamu wahai hamba ALLAH?

“Aku adalah malaikat ALLAH yang datang menjemputmu kerana waktumu sudah tiba”

“mari”

Ketika itu, kedengaran bunyi sesuatu benda jatuh di bahagian tepi khemah para pelarian. Manusia-manusia yang sering berjalan di tepi Muhammad tanpa menghiraukannya sebelum ini, buat pertama kalinya berhenti dan melihat sekujur tubuh anak kecil yang sudah terbaring di tepi jalanan yang mereka lalui itu. Ya. Masih lagi di tempat yang sama. Seakan ingin memberitahu kepada semua yang dia tidak akan berganjak selagi mereka tidak bertindak!

Bertindak apa?

Kau rasa?

Nak rasa macam mana?

Rasalah dengan hatimu yang paling dalam.
Kerana di bahagian hatimu yang paling dalam,
Akan kau temukan cebisan hati yang masih Islam tu

-Batuk-

Kau tahu tak sesuatu?

Apa?

Dari cerita ni, mesti kau takkan pernah terfikir yang anggota relawan yang sebenar-benarnya adalah adik kecil itu tadi kan? Dialah yang telah menjadi model kepada kita, betapa walau dalam keadaan serba kekurangan sekalipun, kita masih sahaja boleh memberi dan PERLU memberi.

Beri apa?

Sebuah KEHIDUPAN.


Kau nak hadiah tak?

Nak!

Surah al-furqaan, ayat 20~
Kalau kau rasa kau nak jadi anggota relawan yang sejati tu, kau bukalah.






mencari segenap hati yang belum betul-betul berserah pada ALLAH sepenuhnya,
beinal ams walyaum