Tuesday, 1 January 2019

AKU, YANG DAHULU MENJADI KINI



Bismillah,
Ar-Rahmaan,
Ar-Rahiim.



"Untungla, anak Ikhwah Akhawat"

"Untungla, sekolah MUSLEH"

"Untungla..."

"Untungla..."



Subhanallah walhamdulillah,
Atas berlapis-lapis kalimat untung yang selalu mengingatkan aku,
Untuk terus mengembalikan rasa untung tadi kepada Allah,
Atas semua nikmat yang telah dipinjamkan seketika ketika di dunia.

Nikmat yang seketika,
Menjadi saham menuju ke syurga,
InshaALLAH.



Malam ni,
Sambil makan, teringat-ingat dialog kat atas tadi.

Waktu zaman-zaman tengah bersemangat menyerahkan diri untuk dibentuk dan dibina dengan acuan Tarbiah & Dakwah. Zaman yang redha ditegur demi kebaikan yang jauh lebih besar. Zaman yang sampai boleh menitiskan air mata sebanyak-banyaknya, tanda menjiwai setiap detik yang berlalu dalam hidup. Zaman yang taknak ditinggal dan meninggalkan walau seorang pun di belakang. Zaman yang sungguh menghargai, peluang yang Allah beri untuk hidup dengan kaca mata Islam, setelah digelar Muslim sekian lamanya. 

Setiap kali ungkapan untungla untungla itu di perdengarkan kepadaku, aku masih teringat bagaimana minda dan hatiku seolah berkecamuk dan ligat berfikir bagaimana untuk respon ungkapan tadi dengan sebaik-baiknya, agar kelak menjadi manfaat untuk aku yang dikatakan untung, dia yang menuturkan dan juga mereka yang menyaksikan perbualan kami berdua.



"Pakcik Makcik yang awak kata mak ayah Ikhwah Akhawat tu, dulu mereka pun bukan anak Ikhwah Akhawat juga,"

"Tapi mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk membina diri, membentuk suasana Keluarga Muslim tu, sehingga anak-anak mereka dapat merasa nikmat dilahirkan dalam keluarga Ikhwah Akhwat"

"Beruntungnya awak, kalau awak jadi pemula kepada suasana tu untuk keluarga awak kan?"


Aku masih ingat mata akhawat itu berkaca-kaca saat dia merintih. Aku yang diberikan ilham untuk menuturkan kata-kata di atas, aku sendiripun rasa termuhasabah. Risaunya aku, andai aku hanya mengambil kesempatan di atas sebuah nikmat yang Allah bagi ni. Risaunya aku, kalau-kalau satu hari nanti, aku tidak lagi rasa nikmat ni sebagai sebuah nikmat, lantaran 'nikmat' lain yang lebih aku damba dan kejarkan. A'uzubillahi min zaalik. 

Selang setengah tahun,
Dialog rintihan itu kembali aku dengar, tetapi kali ini bukan kepadaku, tetapi kepada adik rumahku, yang juga merupakan anak ikhwah akhawat. Tapi kalini ayat rintihan tu tak lagi bernada rintihan tapi lebih kepada persoalan menanti jawapan berbentuk motivasi buat dia.


"Best tak jadi anak ikhwah akhawat"

"Hmm, biasa je akak"


Hehe. Dalam hati aku, alamaaaaak. Bila akhawat yang tanya tu balik, aku dan adik rumah aku berborak-borak.

"Asiah (bukan nama sebenar), kakak tadi kan, sebenarnya dia nak sangat hidup dalam suasana keluarga yang ikut Program Tarbiah ni. Huu, jadinya bila awak kata biasa je jadi anak ikhwah akhawat ni, dia macam sedikit terkilan la. Sebab nikmat tu kan tak semua orang dapat kan :) "

"Alamak! Ala... serba salahnya. Ana bukan apa, Ana sebenarnya macam taknakla highlight sangat nikmat-nikmat tu, takut mengguris hati akak tu"

"Kita bukannya nak highlight ---> haha kau ada?, tapi kita nak highlight yang inshaALLAH suasana ni akan wujud bagi individu yang mengusahakannya inshaALLAH dan nak highlight juga, banyaknya pahala bagi orang pertama yang memulakannya,"



Macam syurga,
Allah dah cerita awal-awal dalam al-Qur'an,
Bagaimana suasana damai di dalamnya,
Bagaimana suasana manusia-manusia yang berjaya masuk ke dalamnya.
Bagaimana ganjaran yang Allah telah janjikan, walaupun tidak ada siapapun yang mampu membayangkannya, tetapi mereka yang beriman tetap sahaja teguh mempercaya, sehabis daya memberi seluruh jiwa dan harta yang ada.


Seperti itu jugalah,
Diharapkan agar kita dapat memberi motivasi kepada ramai orang,
Agar semua pun berlumba-lumba untuk membina lebih banyak lagi institusi keluarga seperti yang diidam-idamkan.

Aku masih ingat lagi,
Karakter ayah yang rasanya tidak pernah miss bacaan al-ma'thurat hariannya.
Bagaimana dia membacakan zikir-zikir ma'thur itu sambil naik atas, turun bawah, mcm semua sudut dalam rumah tu dia singgah. Waktu kecil kami suka ajuk-ajuk bacaan zikir ayah.

Aku masih ingat lagi,
Sosok seorang emak yang bertudung bulat  dengan baju kurungnya, gigih memandu van ford berwarna biru, mengangkut anak-anak emak dan anak-anak jiran untuk dihantar ke sekolah yang yurannya boleh dikatakan mahal, tetapi pada ketika itu fasiliti yang ditawarkan tidak setanding duit yang dikeluarkan.

Aku masih ingat lagi,
Ketika Naqibah pertamaku di Hira' Jeram dahulu, selalu banjir kedua kelopak matanya, menceritakan zaman awal-awal Sekolah Islam Al-Amin Bangi ditubuhkan. Tidak lekang dari mulutnya menceritakan,

"Ayah enti dan pakcik-pakcik yang suruh Muallimah & Muallim (suami) sambung belajar di Sudan. Balik, Muallim jadi pengetua dan kami mengajar di Sekolah Islam yang ditubuhkan (Dulu Al-Amin Serdang, kemudian pindah ke Bangi)"

"Ayah enti pernah sekali balik dari ziarah kami, naik basikal, lalu satu jambatan ni. Tayar basikal, tersangkut paku, ayah enti terjatuh, sampai pengsan,"

"Dulu, pernah sekali, sekolah kecil kami banjir.  Semua turun gotong-royong, membersihkan sekolah kecil kami"

"Dulu, pakcik-pakcik yang kerja, pada setiap jumaat, akan ambil Aulad (pelajar lelaki), naik van untuk ke Masjid Solat Jumaat"

"Dulu, Pakcik-Makcik ni la yang infaqkan gaji-gaji mereka, membayar gaji guru-guru sekolah"

"Besarnya harapan Ikhwah Akhawat untuk mewujudkan Sekolah Islam"



Waktu aku dengar semua cerita tu,
Wallahi, tu kali pertama aku dengar cerita tu.
Maka, dengan aku-aku sekali menangis.
Menangis mengingatkan betapa tidak cermatnya aku dalam melalui perjalanan hidup aku sebagai seorang pelajar di sebuah sekolah yang berfalsafahkan Falsafah Pendidikan Islam.
Menangis, mengenangkan seribu satu persoalan aku untuk ayah yang aku simpan sahaja dalam hati, tetapi menjadi terjawab dengan cerita-cerita jerih payah ayah dan emak beserta pakcik makcik yang lain dalam nak menyediakan Sekolah Islam untuk generasi anak-anak mereka nanti, yang harini, telahpun berkembang sehingga ke Sabah dan Sarawak.

Esok,
Hari pertama persekolahan untuk tahun 2019.
Dan tadi, bila aku melihat kakakku sedang menggosok uniform sekolah anak sulungnya Ilham,
Aku berkata dalam hati,


"Sekolah Islam ni dah sampai ke generasi cucu-cucu mereka yang mengasaskannya"


Kita selalu dengar, kalau seseorang tu tidak pernah melalui sesuatu, dia tidak akan boleh beri org lain melalui sesuatu yang tidak dilaluinya. Ironinya, Pakcik Makcik yang terlibat dengan pembukaan Sekolah-sekolah rangkaian MUSLEH, mereka sekalipun tidak pernah rasa bersekolah di sekolah yang mereka bina. Tapi masih sahaja, mereka mampu mewujudkan sekolah-sekolah yang diidamkan. Kerana, mereka tidak duduk menunggu sekolah idaman hati mereka tiba-tiba wujud tiba-tiba, tetapi kerana mereka mengusahakannya.

Pakcik Makcik dahulu yang masih muda belia,
Kini, kebanyakannya telah pencen dan ada juga yang telah meninggal dunia.

Namun, mereka yang masih hidup,
Masih kuat melibatkan diri dalam pembangunan sekolah-sekolah ini,
Demi terus merealisasikan impian untuk menghasilkan insan-insan yang melalui satu proses pendidikan berteraskan Tauhid yang bertujuan membina dan melahirkan Insan Rabbani yang berilmu, beriman dan berakhlak mulia serta berkemampuan membentuk kehidupan diri sendiri, masyarakat, negara dan dunia sebagaimana yang dituntut oleh al-Qur'an dan as-Sunnah melalui satu sistem yang seimbang, bersepadu, menyeluruh & berterusan.


"Untungla, anak Ikhwah Akhawat"


"Untungla, sekolah MUSLEH"

"Untungla..."

"Untungla..."


Demikianlah,
Kalimat untung yang berlapis-lapis itu tadi, tidaklah mereka akan wujud dengan begitu sahaja. Banyak episod cerita yang telah mendahului, sebelum tibanya episod kalimat untung itu dilontarkan.


Seperti kalam Allah yang terpahat di Surah As-Syams,

"Maka sesungguhnya, beruntunglah bagi mereka yang menyucikannya"


Juga di Surah Al-Mukminuun,

"Sesungguhnya, beruntunglah orang-orang yang beriman"


Demikianlah,
Kalimat untung yang tidak mungkin Allah sebutkan dengan tiba-tiba,
Tetapi kalimat untung yang didatangkan sebagai pengakhiran,
Kepada sebuah permulaan usaha yang bersulamkan keihlasan yang kemudiannya menjadi diterima dan diredhai Allah.

Sekolah kecil di atas bukit,
Yang sekelilingnya hutan kelapa sawit,
Di tengah-tengah kampung yang tanahnya juga masih banyak belum terusik,
Tetapi meriah suasananya,
Bacaan solat anak-anak darjah 1-3, yang bacaannya, masing-masing dengan suara yang kuat,
Berlumba-lumba menghafaz surah dari al-Qur'an,
Mempelajari Fiqah, Sirah, Aqidah, Akhlak, Tajwid & subjek akademik yang lainnya,
Awal-awal mengenal al-ma'thurat yang kemudiannya dilazimi dan dihafaznya,
Anak-anak Senior & Junior berebut untuk menggulung tikar selepas solat,
Anak-anak Senior & Junior boleh makan di dalam satu dulang yang sama,
Cuti-cuti, para ibu dan ayah turut turun ke sekolah membersihkan dan menceriakan kelas,
Walau bukan pada hari aktiviti gotong-royong sekolah.



Subhanallah walhamdulillah,
Semoga aku dan mereka yang membaca tulisan ini,
Berusaha untuk meneruskan serta mewarisi legasi ini.

Demikianlah,
Tidak cukup jika pembinaan kualiti Individu Muslim itu hanya berkembang sehingga membentuk Institusi Keluarga Muslim sahaja. Harus dikembangkan sehingga ke peringkat yang lebih besar. Jika ada yang kurang dalam nak membangun institusi kekeluargaan ini, harus bekerjasama memperbaiki apa yang kurang, dan mewujudkan jika belum ada, seperti institusi pendidikan inilah. 

Tidak cukup juga hanya dengan idea pembinaan dan pembangunan Sekolah Islam, 
Tanpa kesudian institusi keluarga untuk terlibat sama dibentuk dalam agenda soleh dan musleh ini.
Kerana MUSLEH yakin, bahawa kemenjadian setiap anak-anak Musleh ini, bukan hanya dengan pembinaan yang berlaku di sekolah semata-mata, tetapi turut berlaku dalam lingkungan keluarga, dan juga rakan sebaya :)

P/s: Setiap anak-anak musleh tu akan di nilai dirinya dari banyak aspek seperti solat, adab, disiplin, bab nasihat dan terima nasihat, dan penilaian ini dinilai oleh banyak pihak, iaitu guru, ibu bapa, rakan sebaya dan diri sendiri. Yang bestnya, skor paling tinggi iaitu 5 akan dicapai jika anak itu turut menyebarkan elemen kebaikan yang dinilai tadi kepada orang lain.

Akhir kalam,
Semoga Allah menganugerahkan Syurga yang tertinggi di sisiNya buat mereka yang terlibat secara langsung atau tidak dalam usaha menbangun dan meneruskan usaha-usaha mulia ini :)


Hashtag:
1) SolehwaMusleh
2) MuslehKITA
3) KenaSambungLegasi




(Lagu Sekolah. Bila nyanyi sekarang, boleh menangis dengan liriknya)



Hanifah binti Jailani,
Sekolah Rendah Islam Al-Amin Bangi (1998-2003)
Sekolah Menengah Islam Al-Amin Bangi (2004-2007)
Maahad Tahfiz Al-Qur'an Hira' Jeram (2008-2009)
Sekolah Menengah SRI Al-Amin Bangi (2010-2011)