Langit yang tadinya berwarna jingga keunguan,sekejap
sahaja sudah menghitam dan memekat, tanda malam semakin jauh melarut. Begitulah
juga hakikatnya sang manusia. Semakin tubuh ingin dipanggil rehat, semakin
itulah ramai yang bertambah tenat. Mereka menjadikan sang malam sebagai
asbabnya mereka teraba-raba. Kata mereka, kerana gelapnya malamlah yang
menjadikan mereka terhalang daripada mendapat sinarnya sang cahaya.
Aku hanyalah seorang manusia biasa. Bukan kerana aku
turut ada cacat dan cela, tetapi kerana aku juga tidak terlepas untuk selalu
memasang sejuta anganan dan cita-cita. Setiap hari ku sering sahaja melihat
manusia di sekelilingku. Mereka masih manusia yang sama dengan rutin yang sama
tetapi di hari yang berbeza. Sedang aku? Ya. Aku juga masih seorang manusia
yang sama dengan rutin yang sama, juga di hari yang berbeza. Pasti kalian yang
sedang membaca coretan ringkasku ini berasa hairan dan pelik. Aku ini, apa
profesinya? Sehingga boleh ada masa untuk mengintai dan melihat rutinnya sang
manusia. Bukan hanya sehari, bahkan sehingga setiap hari!
“Muhammad! Cepat! Jom main bersama kami”
“…”
Aku ini hanyalah seorang anak kecil
yang masih lagi tidak pandai untuk membersihkan setiap aliran hingusku yang
jatuh dengan kudrat tanganku sendiri. Bukan kerana aku tidak mahu, tetapi
kerana aku tidak mampu. Semua ini gara-gara robot-robot yang kulihat setiap
hari itu tadi. Perasaan hatiku yang kian merobek ingin sekali memekik! Biarkan
pekak semuanya. Ah! Mereka memang sudah pekak dari awal lagi. Bukan sahaja
pekak, bahkan buta dan bisu. Mereka itu cacat di atas sebuah kesempurnaan sang manusia!
Apakah mereka ini tidak melihat aku
yang kecil ini? Sedang aku sering sahaja melihat mereka dari tepi jalanan penuh
lumpur dan lecak ini. Bahkan, aku tidak pula beralih dari posisiku dari awal
pagi hinggalah terbenamnya sang matahari. Mustahil mereka tidak nampak
kelibatku. Apakah mereka ini tidak menghiraukan aku hanya atas sebuah dasar
kebangsaan yang tidak sama, yang selalu sahaja dilaung dan diapi-apikan itu?
Tetapi. Manusia-manusia
yang melaluiku itu tidak semuanya tidak sebangsa denganku. Tetapi, mengapa jadi
begitu?
Ehem. Kau mahu tahu siapa
manusia-manusia itu? Kau jangan terkejut andai aku katakan mereka itulah
manusia yang palsu jiwanya. Mereka tampak hadir dengan sosok fizik mereka yang
gagah dan kuat. Mereka selalu sahaja ada walau di celah mana-mana. Kerana apa?
Kerana mereka itu ramai bilangannya. Mereka itulah yang telah sekian lama
berkhidmat sebagai seorang relawan di kem pelarian kami. Mereka itulah yang
tetap sahaja setia merawat dan menjaga kami, mangsa kepada bekunya hati sang
ummat yang masih lagi lena diulit mimpi.
Sekali lagi ku katakan. Kalian pasti
pelik bukan bagaimana aku mengatakan mereka itu robot-robot yang cacat di atas
sebuah kesempurnaan? Sedang mereka itulah yang telah meng-Infaqkan seluruh jiwa
dan raga mereka demi menjaga kami semua di kem pelarian ini. Kau mahu tahu
kenapa? Mari sini aku ceritakan. Agar kelak tidak pula engkau menjadi salah
satu dari mereka yang sedang aku bicarakan.
Seorang relawan itu tidak seharusnya
mereka hanya rela di atas nama. Juga tidak seharusnya mereka itu rela hanya di
atas pandangan mata-mata manusia. Yang dikatakan mereka itu rela hanya di atas
nama dan juga pandangan mata manusia adalah pada saatnya mereka itu hanya hadir
pada jasad tetapi tidak pada jiwanya. Seorang relawan itu mana mungkin dapat
menipu kami-kami yang begitu mengerti erti sebuah kemanusiaan.
Di setiap huluran tangan mereka, di
setiap senyuman mereka, di setiap langkahan padu mereka, di setiap keringat
peluh mereka, tidak sedikitpun aku merasakan kehangatan itu dijiwaku. Bukan
sekali aku melihat golongan-golongan sebegini di kem kami.
Meski aku ini hanyalah seorang anak
kecil yang kurang kudratnya, namun aku juga tahu menentukan bagaimana
seharusnya aku fikir dan rasa.
Bagaimana seorang manusia itu sampai boleh mengaku
dirinya seorang relawan sedang hatinya tidak rela? Andai sahaja mereka rela,
pasti sahaja di hati mereka itu hanya ada ALLAH sahaja. Pasti juga jelas di lubuk
hati mereka, apa itu pahala, dan apa itu redha.
Kalian pasti kata aku tidak bersyukur
bukan? Aku bukan tidak mahu bersyukur. Tetapi aku takut untuk bersyukur atas
sebuah alhaq yang galak bertopengkan kebatilan. Betapa sebuah jiwa tidak boleh
bercampur di dalamnya 2 elemen pada satu masa. Andai sahaja para relawan ini
tidak mendatangi kami dengan niat Lillahi Taala, lantas mereka mendatangi kami
dengan apa? Kemudiannya, cuba kalian bayangkan, hati mereka yang tidak
diposisikan ALLAH di dalamnya, di hulur kepada kami, dengan harapan kami
menyambutnya. AH! Mustahil sekali aku akan menyambutnya. Kerana aku bimbang,
hati yang tiada ALLAH sebentar tadi sampai
berjangkit kepada kami.
Para relawan yang datang silih
berganti. Dan aku masih di sini. Andai sahaja para relawan itu menjadikan
ruhnya sebagai tebusan, maka di luar sana, pasti mereka tidak duduk diam
bersahaja. Atau hanya kerja saat ada projek sahaja. Para relawan itu, andai di
dalami makna profesinya sahaja sudah cukup membuatkan sebatang tubuh ini akan
terus melangkah dan melangkah. Langkahan mereka tampak sama sepert manusia
biasa, namun auranya dapat dirasakan berbeza.
Sungguh! Tugasmu hai relawan, besar
sekali. Tugasmu tidak hanya mengagih ubat-ubatan, merawat luka-luka dan juga
menghiburkan hati kami yang lara. Tidak. Tetapi tugasmu juga adalah mengejut
ummat yang masih belum bangun hingga kini. Tugasmu juga adalah untuk
menghidupkan hati-hati mereka yang hampir mati!
Duhai para relawan! Datangilah kami
dengan hati yang penuh wahyu! Andai sebaliknya, nescaya kalian tidak akan mampu
mengambil walau satu ibrah dari apa yang kami lalui. Kalian juga tidak akan
mampu untuk memahami satu urgensi yang sepatutnya kalian tempuhi.
Duhai para relawan, andai kalian mengerti, maka
kalianlah ikhwan sebenar buat kami. Dengan hatimu yang hidup, kami
mempercayakan kalian sepenuhnya untuk menghidupi manusia yang lainnya.
Kau tahu? Seperti yang telah aku nyatakan di awal
coretanku ini, aku juga tidak terlepas dari cacat dan cela. Dan aku, seorang
anak kecil yang kehilangan kemampuan deria semuanya. Tetapi tidak hati.
Kerana aku
tidak lagi mampu bertutur, maka semua yang aku luahkan di atas tidaklah mampu
didengari oleh mereka. Kerana aku tidak lagi mampu untuk melihat, maka, apa
sahaja yang dilakukan oleh manusia-manusia itu, ku rasakan seolah-olah semuanya
sama. Sebab itu katakana mereka masih dengan rutin yang sama. Akan ku anggap
sama sehinggalah ku dapat rasakan impak dan perbezaannya, meski aku tidak lagi
punya deria mata, telinga dan mulut, namun ingat, aku masih punya hati. Dan
hati itu, sungguh, dialah deria yang paling sensitif. Sepatutnyalah!
“Muhammad”,
“ya”,
“andai engkau
ALLAH beri peluang untuk berkata buat sementara cuma, apa yang ingin engkau katakan
ya?”
“Aku ingin sekali
mereka melihat aku meski hanya dengan pandangan bola mata yang paling hujung
sekali. Aku ingin sekali mereka berhenti
lantas mengamati tubuh kecilku ini agar dapat mereka mengerti dan memaknai.
Dengan harapan, wujudlah walau hanya sekelumit simpati. Bukan. Bukan sebuah
simpati yang aku mahukan. Bukan juga sebuah kasih sayang plastik yang kononnya dicipta
atas nama sebuah persamaan. Tetapi, yang aku dambakan hanyalah sebuah kesatuan
penuh kedamaian.”
Eh. Aku boleh
mendengar? Aku boleh bertutur? Subhanallah! Aku di mana ni? Siapa kamu wahai
hamba ALLAH?
“Aku adalah
malaikat ALLAH yang datang menjemputmu kerana waktumu sudah tiba”
“mari”
Ketika itu,
kedengaran bunyi sesuatu benda jatuh di bahagian tepi khemah para pelarian.
Manusia-manusia yang sering berjalan di tepi Muhammad tanpa menghiraukannya
sebelum ini, buat pertama kalinya berhenti dan melihat sekujur tubuh anak kecil
yang sudah terbaring di tepi jalanan yang mereka lalui itu. Ya. Masih lagi di
tempat yang sama. Seakan ingin memberitahu kepada semua yang dia tidak akan
berganjak selagi mereka tidak bertindak!
Bertindak apa?
Kau rasa?
Nak rasa macam
mana?
Rasalah dengan
hatimu yang paling dalam.
Kerana di
bahagian hatimu yang paling dalam,
Akan kau temukan
cebisan hati yang masih Islam tu
-Batuk-
Kau tahu tak
sesuatu?
Apa?
Dari cerita ni,
mesti kau takkan pernah terfikir yang anggota relawan yang sebenar-benarnya
adalah adik kecil itu tadi kan? Dialah yang telah menjadi model kepada kita,
betapa walau dalam keadaan serba kekurangan sekalipun, kita masih sahaja boleh
memberi dan PERLU memberi.
Beri apa?
Sebuah KEHIDUPAN.
…
Kau nak hadiah
tak?
Nak!
Surah al-furqaan,
ayat 20~
Kalau kau rasa
kau nak jadi anggota relawan yang sejati tu, kau bukalah.
mencari segenap hati yang belum betul-betul berserah pada ALLAH sepenuhnya,
beinal ams walyaum
No comments:
Post a Comment